Kali ini melibatkan tiga pembantu rumah warga Indonesia. Ketiga-tiganya nekad melarikan diri dari rumah majikan mereka yang bergelar Tan Sri di Country Heights, Kajang, Selangor dipercayai selepas tidak tahan didera. Sudahlah tidak dibayar gaji, ketiga-tiga mangsa mendakwa ditumbuk dan ditampar. Kejam sungguh. Tertanya-tanya dalam diri Awang, mana perginya sifat perikemanusiaan majikan mereka?

Walau bagaimanapun, Awang tidak mahulah terus melabelkan Tan Sri itu sebagai ‘orang jahat’. Ini kerana timbul kesangsian juga pada Awang. Daripada ketiga-tiga mangsa, seorang sudah bekerja dengan majikan tersebut selama tujuh tahun manakala dua lagi masing-masing empat tahun dan enam bulan. Takkanlah selama tujuh tahun itu, amah terbabit tidak bertindak sesuatu seperti menyelamatkan diri atau mengadu kepada sesiapa?

Awang harap polis dapat segera menyelesaikan kes berkenaan. Biarlah siasatan polis menentukan siapa yang bersalah. Sesudah itu, jatuhilah hukuman setimpal mengikut undang-undang terhadap pesalah.

AWANG - Tunggu dan lihat.