Pelbagai pandangan pro dan kontra diberikan oleh orang ramai berhubung penetapan harga secara mingguan. Khabarnya akan berlaku promosi diskaun. Sejauh mana kebenarannya tidak pasti tetapi biarlah wujud persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha stesen minyak dan pengguna mendapat manfaatnya.

Apa yang penting, rakyat dapat memahami keadaan sebenar mengenai kedudukan harga bahan api ini. Harus diingat bahawa kenaikan dan penurunan tidak dapat dielakkan walaupun dalam julat yang rendah antara 5 hingga 10 sen. Penetapan harga masih berdasarkan harga minyak mentah dunia.

Awang percaya kerajaan akan cuba melakukan yang terbaik untuk kepentingan pengguna dan ekonomi negara. Apa yang diharapkan, kerajaan akan berusaha mengawal dan menetapkan harga sekiranya ia melebihi kemampuan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Di samping mencari kaedah terbaik termasuk menyerap kenaikan harga yang munasabah, kerajaan perlu terus berusaha meningkatkan mutu pengangkutan awam untuk rakyat.

AWANG - Isi penuh setiap hari.