Tiga calon utama yang bersaing sengit adalah Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.

Layak atau tidak, salah seorang daripada mereka yang mengemudi UMNO akan bergantung kepada sejauh mana sokongan akar umbi di cawangan dan bahagian.

Pemilihan UMNO kali ini amat penting bagi menjamin kelangsungan parti keramat orang Melayu itu, sekali gus bertekad untuk bermuhasabah dan memperbaiki kesilapan era sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bukan sahaja 3.6 juta ahli UMMO, bahkan sebahagian besar orang Melayu yang masih menaruh harapan besar kepada UMNO mahukan parti itu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan seperti mana yang pernah dilakukan Pakatan Harapan. Maka, semua calon bertanding dan para penyokong mereka harus menghindarkan diri dari keghairahan melampau berebut jawatan dengan bersengketa sesama sendiri.

Sebaik sahaja kedudukan jawatan nombor satu parti itu diketahui malam ini atau selewat-lewatnya pagi esok nanti, bekerja keras­lah kembali untuk survival UMNO, membela orang Melayu, agama dan bangsa. Ghairahlah, agresiflah untuk melihat punca kekalahan, mencari di mana silapnya dan kembali garang sebagai pemenang dalam PRU-15.

AWANG – Gementar, teruja, yakin.