Mengikut data yang dikumpulkan oleh syarikat media ekonomi antarabangsa, Bloomberg, ringgit meningkat hampir tiga peratus berbanding dolar AS, antara April hingga Jun, jauh mengatasi prestasi yang dicatatkan oleh mata wang negara Asia lain.

Awang menyifatkan, laporan ini satu lagi pencapaian kerajaan dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara ketika pelbagai serangan dilakukan, yang jika dibiarkan boleh memberi kesan tidak baik kepada ekonomi negara.

Apa yang membanggakan pelabur-pelabur asing juga tetap mempunyai keyakinan terhadap prospek Malaysia berdasarkan kepada persekitaran ekonomi semasa. Awang yakin kerajaan akan terus berusaha mengukuhkan kedudukan ekonomi kita biar apapun cabaran yang mendatang.

Oleh itu Awang berharap rakyat akan terus memberi keyakinan kepada kerajaan dan jangan sesekali mudah percaya kepada propaganda pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan negara. Penurunan sebanyak lima kali harga petrol dan diesel sepanjang bulan ini antara bukti nyata bahawa tohmahan mereka kononnya kerajaan akan menaikkan harga bahan bakar itu hanyalah fitnah semata-mata.

AWANG – Sentiasa yakin.