Apapun Awang berharap dalam berhadapan dengan situasi ini, semua pihak tidak kira kelompok mana pun berhati-hati ketika bertindak. Kebebasan bersuara ada hadnya. Tidak semua isu boleh dibincangkan atau disuarakan secara terbuka. Ada kalanya ia perlu dilakukan secara tertutup dan penuh kebijaksanaan.

Tindakan mahu menulis kembali sejarah dan membangkitkan isu-isu yang menyentuh orang Melayu secara langsung bukanlah perbuatan yang bijak, sebaliknya boleh mengundang petaka kepada keharmonian kaum dan perpaduan di negara ini.

Tidak salah untuk memberi pandangan tetapi berhati-hati. Janganlah merasakan oleh kerana kita berada di era Malaysia Baharu segala-galanya mahu disentuh apatah lagi diganggu gugat. Bersyukurlah dengan apa yang kita nikmati ketika ini. Usahlah diragut ketenteraman dan kedamaian itu melalui tindakan membangkitkan isu yang boleh dianggap ‘menjolok sarang tebuan’.

Awang percaya dalam apa perkara pun, kesabaran setiap daripada kita ada hadnya, janganlah terlalu diuji kerana Awang bimbang ia boleh mewujudkan kebangkitan di luar dugaan. Justeru Awang berharap semua pihak tidak kira sama ada pe­mimpin politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhati-hatilah sebelum terlambat.

AWANG - Sekadar mengingatkan.