AWANG mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah warga asing di Kajang pada Jumaat lepas. Terima kasih juga kepada mereka yang memberi maklumat. Sindiket mengisytiharkan 1,885 guni sebagai garam tetapi 37 guni disyaki berisi dadah heroin dan ketamin yang dianggarkan bernilai RM18 juta.
Sesuatu yang amat dikesalkan apabila daripada 18 orang warga asing yang ditahan berhubung kes itu, hanya tujuh orang mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Tidak mempunyai dokumen bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi yang dikesalkan mereka berani melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan musuh No.1 negara.
Persoalannya, bagaimana mereka berjaya membolosi kawalan keselamatan? Begitu juga kemasukan barang-barang seludup sama ada melalui jalan darat di sempadan, pelabuhan atau kargo udara. Selain keldai dadah, sindiket semakin bijak menggunakan helah bagi menjayakan kegiatan mereka.
Mungkin ada yang tidak kena dalam prosedur keselamatan di kawasan sempadan atau pintu masuk negara. Penyeludupan dadah, rokok, arak, besi keluli dan pelbagai lagi masih berterusan.
Awang percaya pintu masuk negara dilengkapi pelbagai peralatan canggih termasuk pengimbas. Perbaiki sebarang kelemahan jika ia melibatkan penguatkuasaan. Lakukan sesuatu. Kita tidak mahu Malaysia dijadikan transit kegiatan ini. Lebih membimbangkan jika dadah berkenaan beredar di pasaran tempatan yang akhirnya merosakkan generasi masa depan negara.
AWANG – Cegah sebelum parah.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 23 APRIL 2018