Awang berharap PH lebih fokus untuk terus menonjolkan kecapaian kerajaan dalam setahun ini hasil persepakatan empat parti komponen mereka.

Dan bukannya cuba menagih perhatian dengan memutarkan isu-isu yang lebih ‘politik’.

Awang akui media sosial pada masa ini kurang berpihak kepada kerajaan dengan banyak isu menyentuh kos sara hidup dan hal-hal berkaitan harga komoditi kurang diperjelaskan kepada rakyat - biarpun ada capaian kerajaan dalam aspek ini.

‘Rom tidak dibina dalam sehari’ usah dijadikan alasan. Janganlah lagi ‘dipukul’ orang dari kerajaan terdahulu. Itu dunia sudah tahu. Biarkan mahkamah tentukan siapa betul, siapa salah. Tidak perlu lagi ‘gendang kecapi’ itu ini.

Awang juga berharap sebilangan menteri yang agak kurang ketrampilan, perbaiki segera prestasi mereka. Jangan di dalam Kabinet telah diputuskan suatu perkara, tetapi apabila dibawa kepada rakyat, lain pula ceritanya. Awang harap para menteri tidak kecil hati.

Rakyat, tidak kira status ekonomi mereka, biarkan mereka menyuarakan pandangan terbuka. Pasti ada input-input berguna luar kotak untuk kerajaan gunapakai.

AWANG - Doakan kemakmuran Malaysia.