Penjelasan itu amat penting kerana ia melibatkan keperluan dan kemudahan rakyat terutama di luar bandar. Bagi menjelaskan persoalan ini, kerajaan mungkin dapat menyenaraikan sama ada projek berkenaan dibatal, ditangguh atau pun dikurangkan kos pembinaannya.

Kerajaan tidak seharusnya mengabaikan projek keperluan rakyat seperti menaik taraf jalan, melebarkan jalan, penyediaan jejantas dan juga lampu isyarat. Begitu juga kemudahan kesihatan seperti klinik dan hospital serta sekolah.

Rakyat boleh menerima alasan kekangan kewangan tetapi jangan disebabkan dendam politik. Projek ini adalah untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik. Kemudahan dan keselesaan rakyat tidak boleh dikorbankan. Pembatalan projek juga secara tidak langsung akan turut menjejaskan peluang kerja untuk kontraktor kecil di luar bandar terutama dalam kalangan bumiputera.

Diharapkan Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan tidak mengabaikan keperluan atau kebajikan rakyat. Berilah keutamaan terhadap projek yang melibatkan kemudahan asas.

Awang sedar bahawa kerajaan boleh membatalkan atau menangguhkan projek mega yang bernilai berbilion ringgit. Mungkin tindakan seumpama itu hanya menyebabkan peluang kontraktor terjejas dan ramai yang terlepas peluang pekerjaan.

AWANG – Kaji projek baharu.