Sesi Dewan Rakyat kali ini menarik perhatian kerana ia melibatkan pertembungan kerajaan baharu dan lama. Perbahasan semakin menarik dengan pelbagai pendedahan dan dakwaan yang melibatkan kedua-dua belah pihak.

Masing-masing menunjukkan keupayaan untuk mengambil bahagian walaupun ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Malangnya dalam kehangatan sidang itu, masih ada wakil rakyat yang gagal mematuhi peraturan. Kata-kata mereka kurang sopan, tidak enak didengar dan menyakitkan hati.

Walaupun bebas bercakap di Dewan Rakyat tetapi sebagai ahli politik, berhati-hatilah. Jangan kata-kata yang dilontarkan itu boleh menghina atau menyentuh sensitiviti agama dan kaum. Fokuslah kepada isu yang sewajarnya. Kritiklah secara berhemah dan terimalah kritikan dengan hati yang terbuka.

Awang percaya, pelbagai pendedahan dan dakwaan yang dibuat harus ditangani dengan baik. Mereka yang dijadikan sasaran pendedahan ini harus bersedia menjelaskan perkara sebenar berdasarkan fakta supaya lebih diyakini rakyat. Inilah cabaran yang perlu dihadapi khususnya bekas anggota Kabinet.

AWANG – Hargai sikap Nga Kor Ming.