Rupa-rupanya masih ada goodies atau habuan untuk rakyat di sebalik cakap-cakap hutang negara menimbun lebih RM1 trilion, ekonomi suram serta kes-kes pendakwaan melibatkan penyelewengan berbilion ringgit oleh kerajaan terdahulu.

Antaranya, kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan dengan peruntukan RM5 bilion.

Wah! Dengan umur kerajaan Pakatan Harapan yang baru enam bulan sejak berkuasa 9 Mei lalu, sudah tentu penyediaan peruntukan untuk belanjawan berkenaan tidak akan berjaya jika benar kantung wang dari kerajaan terdahulu amat susut atau 'habis disapu’.

Tetapi pembentangan Belanjawan oleh Guan Eng membuktikan sebaliknya. Dan serta-merta Awang teringat akan pendedahan Guan Eng 5 September lalu bahawa aliran tunai kerajaan Malaysia hanya berjumlah RM450 juta sehingga 30 April lalu, kira-kira dua minggu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Siapa yang benar?

Cuma pada masa sama Awang sedikit cuak, tidak mahu pelaksanaan Belanjawan 2019 nanti senasib manifesto pilihan raya yang dicanangkan Pakatan Harapan.

AWANG – Pantau prestasi kerajaan.