Jelaslah pemansuhan tol seperti diumumkan melalui Bajet 2018 memerlukan perbelanjaan yang besar. Bagaimanapun selepas mendengar keluhan rakyat, kerajaan mengambil pendekatan memansuhkan tol berkenaan bagi meringankan beban pengguna terutama di kawasan bandar.

Sebenarnya ini bukan kali pertama kerajaan memansuhkan tol. Sebelum ini ada beberapa tol dimansuhkan walaupun tempoh konsesi masih panjang. Begitu juga tiada kenaikan tol walaupun mengikut perjanjian masanya sudah tiba untuk berbuat demikian.

Bagi pemansuhan, kerajaan perlu membayar kos yang tinggi sebagai pampasan mengambil alih aset dan kutipan tol. Penangguhan kenaikan kadar tol pula menyebabkan tempoh konsesi dilanjutkan. Umpama orang yang berhutang, peminjam perlu menjelaskan hutang berkenaan.

Awang berharap, orang ramai dapat memahami situasi sebenar isu pemansuhan tol ini. Adalah tidak munasabah untuk menghapuskan tol secara serentak di seluruh negara. Di beberapa lokasi, kos yang tinggi diperlukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan atau naik taraf bagi keselesaaan pengguna. Begitu juga kos penyelenggaraan tandas awam secara percuma.

AWANG – Bayar tol setiap hari.