AWANG amat berharap supaya semua pemimpin parti politik mengawal tindak tanduk mereka semasa berkempen. Hindarilah tindakan, perbuatan atau ucapan yang boleh mengundang budaya samseng dan provokasi dalam kalangan penyokong.
Tidak dinafikan sikap samseng ini juga kadang-kadang berpunca hasil perlakuan pimpinan tertinggi parti politik yang sengaja membakar semangat para penyokong sehingga menimbulkan tindak balas yang kurang menyenangkan.
Situasi tidak sihat ini biasanya berlaku apabila pertembungan penyokong parti-parti politik semasa aktiviti berkempen termasuk memasang bendera atau poster parti, ceramah dan kempen di kawasan yang sama. Kenapa perlu menyerang penyokong parti lain atau merosakkan bendera dan bahan kempen?
Berkempenlah secara berhemah, harmoni dan gentlemen serta mengikut lunas-lunas demokrasi. Gunakan tempoh yang berbaki untuk berkempen ini sebaik mungkin tanpa perlu ada mana-mana pihak terpaksa membuat laporan polis.
Jika setiap parti mengikut garis panduan kempen yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak banyak masalah yang timbul. Hormatilah peraturan yang ditetapkan oleh SPR.
Awang percaya setiap parti tahu syarat dan peraturan berkempen. Janganlah kerana mahu menimbulkan kontroversi, segala peraturan dilanggar sesuka hati. Amat malang jika pihak berkenaan sengaja mencabar peraturan yang ada sebagai salah satu usaha untuk menimbulkan rasa kurang senang terhadap SPR seterusnya kerajaan. Janganlah ada udang di sebalik batu.
AWANG – Tahu batas berkempen.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 16 FEBRUARI 2019