Isu penggantian Yang di-Pertuan Agong bukanlah perkara yang boleh dibahas atau diperdebatkan, apatah lagi diselitkan dengan kata-kata sindiran oleh ahli politik. Polemik dan isu ini perlu dihentikan segera.

Bagaimanapun dari satu segi kita perlu akui semua spekulasi dan kenyataan itu terjadi kerana pihak-pihak berkenaan membiarkan sahaja khabar angin dan tohmahan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Awang bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah supaya Jabatan Peguam Negara menyiasat dan bertindak ke atas isu seumpama itu kerana Yang di-Pertuan Agong adalah satu institusi yang wajib dipertahankan.

Jangan biarkan ia menjadi sasaran individu-individu yang selama ini menanti masa dan peluang sahaja untuk memburuk-burukkan institusi beraja di negara ini. Kelompok seumpama ini tidak harus dibiarkan kerana jika tidak dikawal ia boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Apapun Awang berharap isu penggantian Yang di-Pertuan Agong tidak terus diperkatakan. Sama ada betul atau tidak, tunggu sahaja Majlis Raja-Raja bersidang. Dari situ pasti kita mendapat jawapan yang pasti.

Awang - Tetap pertahan Raja-Raja Melayu