Awang tidak tahu kenapa masih ada murid yang menangis? Apakah tidak biasa dengan suasana persekolahan atau sekolah kini sudah tidak dilihat lagi sebuah lokasi menarik untuk kanak-kanak.

Sebab itulah ada pengurusan sekolah terpaksa ‘menjemput’ watak-watak adi wira seperti Superman dan Spiderman pada hari pertama persekolahan, tetapi watak-watak itu hanya boleh datang sehari sahaja.

Persoalannya, apa yang perlu dilakukan bagi memastikan murid-murid seronok ke sekolah. Inilah yang perlu dikaji oleh Kementerian Pendidikan. Sesuatu perlu dilakukan termasuk mengkaji apakah sistem pendidikan sedia ada masih sesuai dengan peredaran zaman.

Pada masa sama, soal kebajikan guru-guru juga perlu diberi perhatian khususnya dari segi bebanan. Dalam soal ini, Awang bersetuju dengan pandangan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) yang meminta kementerian menangani isu nisbah seorang guru dengan bilangan pelajar dalam bilik darjah.

Turut perlu diberi perhatian ialah masalah guru duka lara yang sehingga hari ini masih belum selesai.

Awang menaruh keyakinan kepada Kementerian Pendidikan untuk menangani semua isu ini bagi memastikan sekolah di negara ini benar-benar berjaya, dan bukan sekadar tempat bila cukup umur perlu ke sekolah.

AWANG - Suka alam persekolahan.