Tahun lalu, PLUS Malaysia Bhd membelanjakan RM1 bilion untuk menyelenggara 5,000 kilometer lebuh raya termasuk bagi laluan utara selatan yang kini berusia lebih 30 tahun. Dalam hubungan ini, sudah tentu kutipan tol dapat membantu meringankan beban penyelenggaraan itu. Bayangkan jika semua tol dihapuskan.

Sebelum ini ada pihak yang mencadangkan kerajaan menggunakan hasil cukai jalan. Hakikatnya, kutipan itu tidak mampu menampung kos berkenaan di samping untuk keperluan lain.

Selain memastikan permukaan lebuh raya yang baik, penyelenggaraan juga melibatkan kawasan rehat dan rawat (R&R). Kemudahan yang ada sentiasa diperbaiki atau dinaik taraf termasuk tandas dan bilik mandi. Justeru hargailah kemudahan yang disediakan secara percuma ini dan jangan kerana membayar tol, aspek ini diabaikan.

Awang percaya kemudahan di lebuh raya kita adalah yang terbaik berbanding di negara lain. Kerajaan juga bersedia mende­ngar keluhan rakyat mengenai tol. Sejak 2009, beberapa tol dihapuskan termasuk empat mulai kelmarin. Kadar tol juga dihadkan malahan ada perjanjian konsesi tol yang ditamatkan lebih awal.

AWANG – Hari-hari guna laluan tol.