Sikap psikologi kanak-kanak yang berubah, antaranya nampak ketakutan, menyendiri dan pembelajaran kian menurun antara tanda-tanda wujud unsur penderaan.

Dari aspek inilah anggota masyarakat harus sensitif apa yang berlaku di kawasan kejiranan mereka.

Kes penderaan yang membawa kematian Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, pada Rabu lalu boleh dielakkan jika pihak sekolah dan kawasan kejiranan mangsa memiliki tahap keprihatinan tinggi.

Allahyarham pasti suatu ketika menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau keadaan diri tidak terurus. Tapi malangnya orang sekeli­ling tidak ambil berat.

Senario yang dapat dilihat hari ini setiap kali perceraian berlaku, ia hanya menyebabkan anak-anak tersepit dan menjadi mangsa keretakan rumah tangga.

Salah seorang daripadanya, Allahyarham Nur Aina Nabihah yang terpaksa tinggal bersama ibu tiri.

Bagi membendung kes-kes penderaan termasuk berkaitan seksual, Awang syorkan supaya pihak sekolah tingkatkan kualiti Per­khidmatan Bimbingan dan Kaunseling (B&K). Satu perkara mudah, senaraikan murid yang datang dari keluarga bermasalah, mangsa perceraian dan tinggal bersama ibu atau bapa tiri.

Hal ini berkait rapat secara langsung dengan pencapaian prestasi sekolah. Guru-guru kena kerja lebih sikit demi manfaat pelajar, sekolah dan institusi masyarakat.

AWANG – Sabar layan kerenah anak-anak.