Dari peringkat presiden dan kepemimpinan kanan dua parti Melayu terbesar itu, semuanya menyeru ahli parti masing-masing tidak memandang sepi kehadiran. Walaupun objektif utama berkisar kepada isu ratifikasi ICERD, namun tujuan himpunan diperluaskan lagi untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap isu-isu rakyat kepada kerajaan. Antaranya, masalah kejatuhan harga getah dan sawit selain hal ehwal kepentingan orang Melayu.

Pada masa sama mahu menuntut janji-janji utama yang belum ditunaikan lagi oleh Pakatan Harapan selepas membentuk kerajaan baharu 9 Mei lalu.

Pandangan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut mencuit perasaan Awang. Katanya, perhimpunan itu relevan untuk menegaskan isu-isu semasa membabitkan kepentingan umat Islam dalam suasana mereka memerlukan siasah yang jelas saat ini.

Sebahagian orang Melayu barangkali maklum dan sedar apa yang berlaku dalam tempoh enam bulan ini. Ada beberapa isu membabitkan kepentingan Melayu dan Islam tidak dikendalikan dengan baik oleh menteri-menteri terbabit.

Keadaan itu menimbulkan keresahan dan rasa gundah-gulana orang Melayu terhadap nasib dan masa depan bangsa. Pas menyasarkan sejuta orang ke perhimpunan itu. Awang difahamkan, UMNO telah mengerah orang-orangnya di bahagian dan cawangan ke himpunan itu.

Cuma Awang berharap jangan sesiapa cuba `menangguk di air keruh’, dengan mencemari himpunan itu dengan tindakan provokatif.

AWANG - Tak makan hasutan.