Walau apapun orang kata kepada UMNO, ternyata tidak menggugat semangat ahli-ahli UMNO untuk terus berjuang bagi mempertahankan kuasa parti itu demi masa depan orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Awang percaya semangat itu akan disemarakkan lagi oleh Pre­siden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menyampaikan ucapan penggulungan hari ini. Beliau sudah pasti akan memberikan panduan dan kata-kata azimat bagi membolehkan perwakilan kembali ke negeri-negeri dengan penuh tekad bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam masa yang sama, Awang berharap UMNO akan mengambil kira dan mempertimbangkan dengan teliti cadangan serta seruan oleh para perwakilan. Sesungguhnya mereka membawa suara akar umbi dan paling dekat dengan rakyat.

Justeru ambil beratlah pandangan mereka. Ini memandangkan merekalah yang akan berhadapan dengan rakyat secara langsung. Jika suara mereka didengari dan UMNO mengambil tindakan sewajarnya sudah pasti, tidak sukar bagi parti itu untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

AWANG – Dengar suara pembaca