Adakah ini menggambarkan kemewahan warga kota yang dikatakan sering merungut mengenai kenaikan kos sara hidup? Sudah tentu tidak semua warga kota yang terlibat dengan pembaziran makanan. Kebanyakan warga kota bijak mengatur per­belanjaan bagi meneruskan kehidupan di tengah-tengah kota ini.

Mungkin ia melibatkan pihak industri termasuk restoran, hotel dan mereka yang mengamalkan hidup secara mewah. Sesuatu harus dilakukan untuk mengesan punca pembaziran ini. Pihak mana yang sanggup membuang makanan yang tidak terusik ini?

Sepatutnya makanan seumpama ini disalurkan kepada mereka yang memerlukan, bukan dibuang sebagai sampah. Selama ini banyak pertubuhan bukan kerajaan yang secara sukarela turun padang memberi makanan percuma kepada gelandangan yang hidup di Kuala Lumpur. Mereka masih mengharapkan sebungkus makanan percuma untuk makan tengah hari dan makan malam.

Awang percaya perkara seumpama ini juga berlaku di bandar-bandar utama lain walaupun jumlahnya tidak sebesar di Kuala Lumpur. Kepada pihak berkuasa, ambillah tindakan supaya pembaziran makanan tidak berlaku. Bagi yang mencetuskan pembaziran ini, ingatlah masih ramai yang memerlukan makanan.

AWANG - Dididik tidak bazir makanan.