Perwakilan ketiga-tiga sayap tetap bersemangat walaupun dibayangi kekalutan pemimpin UMNO keluar parti. Para perwakilan terutama ketua sayap masing-masing tetap dengan adab dan disiplin UMNO.

Ketiga-tiga pemimpin - Datuk Noraini Ahmad, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Zahida Zarik Khan terlihat begitu serasi di pentas utama kepemimpinan UMNO. Mereka cepat menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu politik yang memerlukan pemimpin yang bijak, cekap dan tinggi integritinya.

Suasana di PWTC yang memang diakui kurang meriah dan hingar-bingar berbanding sebelum ini, tetap penuh dengan semangat positif - semangat perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Perhimpunan kali ini tentu sekali dapat mempersiapkan pemimpin dan jentera parti yang lebih berdaya tahan terutama dalam menghadapi dan melalui realiti sebagai parti pembangkang.

Melihat wajah-wajah perwakilan dapat disimpulkan bahawa masa depan UMNO tidaklah kelam seperti yang digembar-gemburkan. Awang percaya Wanita, Pemuda dan Puteri tidak akan membiarkan UMNO hilang punca apatah lagi berkubur. Mereka adalah kekuatan UMNO. Ada signal jelas UMNO mampu bangkit.

AWANG – Pemerhati setia UMNO.