Peningkatan kos dan kerugian juga menjadi asas pemberhentian pekerja. Begitu juga dengan kemasukan pekerja asing serta sikap warga tempatan yang dikatakan tidak gemar dengan kerja kotor, berbahaya dan sukar (3D).

Apa pun alasan, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi membendung keadaan ini. Setiap tahun, ramai graduan yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Adakah sebahagian besar daripada mereka akan menjadi penganggur?

Program yang menjana pekerjaan untuk rakyat perlu diberi perhatian. Adakah pembatalan beberapa projek akan memberi kesan lebih buruk? Kerajaan perlu lebih jelas mengenai hala tujunya supaya dapat meyakinkan para pelabur untuk melabur seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Awang sedar ekonomi negara memerlukan masa untuk pulih tetapi Pakatan Harapan menjanjikan sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun ini. Diharapkan ia menjadi kenyataan. Begitu juga diharapkan Bajet 2019 dapat memberi petunjuk ke arah mewujudkan peluang pekerjaan sama ada dalam bidang perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

AWANG - Masih dalam kesamaran.