Kategori Tahap 2 itu bermaksud tidak memenuhi standard minimum ke arah membanteras pemerdagangan manusia sepenuhnya tetapi berusaha gigih berbuat demikian.

Apapun dalam laporan itu, jabatan tersebut memberi pujian kepada Kerajaan Malaysia kerana mempamerkan peningkatan usaha dengan memperluaskan siasatan pemerdagangan manusia, pendakwaan dan sabitan kesalahan.

Walaupun masih banyak perlu dilakukan namun Awang mengucapkan syabas kepada agensi-agensi di bawah KDN yang di­pimpin oleh Ahmad Zahid selaku menterinya.

Tidak dapat dinafikan agensi-agensi tersebut khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen telah memainkan peranan paling aktif dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia.

Awang yakin laporan terbaru oleh Jabatan Negara AS itu akan menyuntik semangat kepada KDN untuk membanteras jenayah tersebut habis-habisan. Ini memandangkan pemerdagangan manusia adalah perbuatan tidak bermoral dan tidak bertamadun kerana menjadikan manusia sebagai ‘barang’ untuk mengaut keuntungan.

AWANG – Tumpang bangga.