Sebenarnya, kemampuan dan kewibawaan Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji tidak boleh dipertikaikan. Semua itu tercapai hasil kesungguhan pengurusan agensi itu yang sentiasa memperbaiki perkhidmatan kepada jemaah setiap tahun.

Ketika ini jemaah haji dari Malaysia mula memasuki Madinah dan Mekah bagi menunaikan rukun Islam. Awang percaya mereka akan berpuas hati dengan perkhidmatan Tabung Haji kerana petugas-petugas agensi itu sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka.

Tahniah kepada petugas-petugas tersebut yang Awang faham bukan mudah mengendalikan jemaah haji dalam jumlah yang ramai. Ada bermacam-macam kerenah dan perangai serta masalah, tetapi Tabung Haji sentiasa bersedia menghadapi situasi berkenaan.

Awang yakin seperti tahun-tahun sebelumnya, pengurusan jemaah haji Malaysia akan terus mendapat pujian daripada pemerintah Arab Saudi. Pada masa sama, sementara Awang mengucapkan selamat berangkat kepada mereka, Awang juga berharap mereka akan sentiasa mematuhi arahan petugas-petugas Tabung Haji demi membolehkan mereka menjalani ibadah haji dengan selesa.

AWANG - Tahniah.