Berikutan keterujaan itulah perhimpunan agung tersebut menjadi tumpuan apakah agenda yang akan dibentangkan oleh kepemimpinan Bersatu bahawa mereka layak atau sekurang-kurangnya setaraf dengan UMNO.

Tiada agenda lain lebih penting yang rakyat khususnya orang Melayu mahu dengar daripada perhimpunan berkenaan selain iltizam dan agenda yang jelas untuk memastikan Bersatu benar-benar berkemampuan untuk membela nasib mereka.

Bagaimanapun Awang tidak menaruh harapan tinggi kerana memahami Bersatu bukanlah sebuah parti yang mempunyai suara majoriti dalam Pakatan Harapan (PH). Lagi pula sudah kedengaran suara-suara yang membantah apabila Bersatu mahu menjadi parti Melayu-Islam.

Namun jika pemimpin dan ahli Bersatu tegas bagi melaksanakan agenda itu, tiada sesiapapun dalam PH yang berhak membantah. Ia kerana walaupun Bersatu menang hanya 13 kerusi Parlimen tetapi parti itu juga membantu kemenangan komponen PH lain terutamanya PKR dan Amanah.

Apapun Awang menanti sejauh manakah keberanian perwakilan dan pemimpin Bersatu memperjuangkan impian mereka menjadi parti Melayu-Islam demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam. Kalau keberanian itu tidak terserlah di perhimpunan berkenaan, sebaliknya lebih banyak dihiasi dengan kecaman terhadap kerajaan terdahulu, orang Melayu sudah boleh mengetahui di manakah kedudukan Bersatu dalam PH.

AWANG - Tetap perjuangkan Melayu-Islam.