Paling penting, anak-anak mendapat kemudahan secukupnya, lebih-lebih lagi sekolah yang menerima tambahan jumlah murid atau pelajar. Guru-guru juga perlu membuat persediaan yang rapi bagi melicinkan sesi persekolahan. Teruskanlah komitmen untuk mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna.

Golongan pendidik tidak perlu terganggu dengan satu dua kes yang dibawa ke mahkamah akibat rasa tidak puas hati ibu bapa berhubung tindakan disiplin ke atas anak mereka.

Tugas pendidik pada masa ini amat mencabar lebih-lebih lagi berkaitan dengan disiplin. Eloklah juga Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling baharu mengenai kaedah hukuman yang dibenar dan yang dilarang ke atas pelajar seperti diminta oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Awang setuju supaya guru-guru diberi ruang untuk mendisip­linkan anak didik mereka tanpa rasa seperti ‘tangan diikat’. Cuma mereka perlu lebih berhati-hati. Bertindaklah mengikut garis panduan. Guru juga insan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Ibu bapa pula harus lebih rasional ketika berhadapan kes-kes disiplin.

AWANG – Mahu cikgu mengajar, mendidik.