Sejak awal lagi Awang tahu isu hubungan antara kedua-dua parti itu pasti akan menjadi tumpuan dalam muktamar tahunan Pas kali ini. Ini berikutan tindakan PKR yang terus mengekalkan kerjasama dengan PAN dan DAP dalam Pakatan Harapan dilihat melanggar ketetapan Pas sebelum ini. Pas sudah pun menegaskan berkali-kali bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan PAN.

Oleh itu ramai pemerhati politik sudah pun menjangkakan yang Pas akan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang dilihat lebih banyak membawa kemudaratan dan bukannya menguntungkan Pas.

Apapun keputusan muktamad ada di tangan Majlis Syura. Melihatkan senario dalam muktamar Dewan Ulama kali ini, keadaannya hampir sama dengan situasi 2015, ketika dewan itu meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP, maka ia menjadi kenyataan.

AWANG – Menunggu penuh minat.