Sudah tentu mood perhimpunan tidak sama seperti ketika UMNO memegang tampuk kuasa. Biar apa pun situasi, perhimpunan bersejarah ini perlu dimanfaatkan untuk merintis jalan kebangkitan semula, bukan sahaja bagi memulihkan keyakinan anggota parti tetapi rakyat.

Perhimpunan ini akan turut menjadi tumpuan mereka yang berada di luar UMNO. Ramai ingin tahu sejauh mana parti yang dikatakan menuju kejatuhan itu mampu bangkit. Ucapan dasar sulung Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dinantikan.

Semangat juang anggota parti perlu diperkukuhkan supaya kesetiaan mereka tidak mudah dicairkan akibat `tekanan’ yang sedang dilalui. Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat tidak seharusnya dibiarkan sebagai slogan semata-mata.

Tempoh mencari penawar ini amat sukar. Mereka yang lemah dan tidak sabar akan meluru keluar serta membiarkan parti lemah.

Awang percaya, masih ramai yang mahu UMNO terus wujud. Peluang masih ada. Kepada para perwakilan, berbahas dan berhujahlah dengan cadangan yang meyakinkan, bukan menjadikan perhimpunan ini medan ‘menuding jari’. Masa untuk keluh-kesah sudah berlalu, sekarang masa untuk berubah.

AWANG – Setia kepada syarikat.