Disifatkan sebagai ‘Ibu segala bajet’, ‘kek Bajet 2018’ ini dapat dinikmati seawal janin di dalam kandungan sehinggalah kepada usia warga emas. Ia dirangka bagi melindungi dan membela rakyat termasuk manfaat kepada rakyat di ne­geri di bawah pentadbiran pembangkang. Ini membuktikan keikhlasan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melangkaui sempadan ideologi politik.

Meneliti satu persatu lapan penunjang yang digariskan, Bajet 2018 ini begitu prihatin kepada setiap warganegara tanpa mengira kedudukan sama ada di bandar mahupun di pedalaman, penjawat awam, swasta atau golongan petani, nelayan dan pekebun.

Begitu juga perhatian yang diberi meliputi pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan awam dan keselamatan. Semuanya ini untuk kesejahteraan rakyat. Jelaslah ini adalah bajet inklusif, realistik dan komprehensif.

Awang berharap rakyat dapat menilai sendiri kesungguhan kerajaan untuk membela nasib mereka. Peranan rakyat kini adalah untuk terus berganding bahu bersama kerajaan supaya lebih fokus untuk mencapai matlamat yang digariskan melalui Bajet 2018.

AWANG – Syukur dan terima kasih.