Apa sudah berlaku dalam kalangan masyarakat kita? Di mana kita sekarang? Kejadian seumpama itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana beberapa demonstrasi sebelum ini berlaku keganasan terhadap penjawat dan harta awam. Kerajaan tentu lebih memahami.

Bagaimanapun ketelanjuran atau tindakan ganas perusuh amat tidak wajar di negara bernama Malaysia ini. Adakah sekali lagi pasukan bomba akan diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) sebelum melakukan kerja-kerja menyelamat?

Kes ini tidak boleh dianggap terpencil tetapi harus dijadikan iktibar. Ingatlah api ketika kecil menjadi kawan tetapi apabila besar menjadi lawan. Pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan yang lebih tegas selepas rusuhan pertama. Lakukan risikan dan menghidu setiap kemungkinan ancaman susulan.

Awang berharap pihak berkuasa dapat mencari dalang yang terlibat. Pada masa yang sama, semua pihak sekali lagi tidak harus mengeruhkan keadaan. Jangan terlalu cepat membuat andaian dan kenyataan sehingga akhirnya mencetuskan kekecohan yang melampau dan bertukar menjadi isu perkauman. Ingat terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

AWANG - Kenang 6 anggota bomba.