Kenyataan itu juga dapat melegakan sebahagian besar kakitangan yang terlibat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Apa yang penting, kajian terpe­rinci perlu dilakukan supaya tidak ada mana-mana pihak yang menjadi mangsa kepada perubahan politik.

Tidak dinafikan ada dalam kalangan pekerja lantikan politik ini benar-benar melakukan kerja untuk berkhidmat kepada masyarakat. Mereka ini sebagai agen kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk. Dalam erti kata lain, mereka menjadi jambatan penghubung antara pihak kerajaan dan rakyat. Jika ia satu keperluan, elok dikekalkan.

Eloklah diteliti bidang tugas kakitangan berkenaan. Ambillah sedikit masa untuk menyusun semula bidang tugas mereka yang terlibat, bukannya melakukan penamatan serta merta. Pertimbangan kemanusiaan perlu diambil kira.

Awang mengakui, adalah satu proses biasa apabila sesebuah pentadbiran kerajaan berubah, maka penyusunan semula tidak dapat dielakkan. Mereka yang dilantik atas nama parti politik perlu bersedia menerima risiko, lebih-lebih lagi lantikan secara kontrak. Apa pun, sebarang tindakan yang diambil jangan pula wujud pengangguran dalam kalangan rakyat.

AWANG – Masih ada kerja.