Tidak kurang juga yang enggan melepaskan telefon bimbit atau i-pad walaupun sedang menikmati makanan. Mereka asyik me­layani WhatsApp. Anak-anak kecil juga dibekalkan telefon untuk bermain ‘game’ supaya tidak mengganggu anggota keluarga lain. Begitulah suasana di meja makan.

Hari ini komunikasi secara lisan di meja makan semakin terhakis. Masing-masing sibuk dengan gajet. Justeru, hasrat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meneruskan kempen itu amat baik.

Tujuannya bagi memberi sedikit ruang untuk menjalin hubu­ngan sesama masyarakat pada waktu berkualiti khususnya golongan muda dan institusi keluarga. Mungkin kaedah kempen itu perlu dilihat semula, bukan sekadar ada. Tidak dinafikan mendidik masyarakat melalui kempen seumpama ini amat sukar.

Awang percaya masih ada ruang untuk mendidik generasi baharu mengutamakan komunikasi bahasa tubuh supaya wujud hubungan yang lebih mesra. Hari ini, WhatsApp menjadi penghubung walaupun boleh bersemuka. Teknologi sudah menguasai keluarga kita. Masyarakat perlu memainkan peranan kerana tidak ada undang-undang yang dapat ‘merehatkan’ gajet.

AWANG – Kecewa perokok di restoran.