Namun bagi Awang, pihak polis masih belum menyelesaikan siasatan. Kalau mengikut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, beliau menjelaskan, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor serta individu-individu tertentu akan dipanggil untuk diambil keterangan.

Oleh itu Awang berpendapat adalah lebih baik jika semua pihak menunggu dahulu polis menyelesaikan siasatan. Janganlah membuat tuduhan bukan-bukan. Janganlah membiarkan politik kebencian menghalang kita untuk bertindak adil ke atas seseorang.

Awang sentiasa berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah atau dalam bahasa Inggerisnya innocent until proven guilty.

Prinsip ini seperti mana kata seorang peguam kepada Awang, menjadi teras kepada sistem keadilan di seluruh dunia. Tidak kira sebesar mana pun kesalahan yang dituduh, seseorang itu perlu diberi ruang membela diri di mahkamah.

Justeru, bersabarlah menanti polis melengkapkan siasatan. Tidak perlu kita membuat rumusan sendiri. Benarkanlah pihak polis menjalankan tugas mereka secara profesional. Awang yakin kebenaran tetap kebenaran yang tidak boleh disembunyikan. Oleh itu sama-samalah kita tunggu.

Awang – Tidak suka menuduh.