Jika sebelum ini dalam Belanjawan 2019 pembekuan hanya melibatkan kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar tetapi melalui penambahbaikan, ia diperluaskan ke 21 lebuh raya.

Sudah tentulah keputusan kerajaan ini melegakan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Walaupun pembekuan itu tidak selari dengan janji Pakatan Harapan dalam manifestonya untuk menghapuskan semua tol tetapi sekurang-kurangnya ia sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat.

Lagipun apabila kadar tol dinaikkan ia pasti akan dikaitkan dengan perkara-perkara lain khususnya melibatkan kenaikan harga barang. Peniaga yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan alasan untuk menampung kos.

Oleh itu Awang berpendapat, kerajaan membuat keputusan tepat dengan langkah pembekuan berkenaan. Awang percaya rakyat akan menyambut baik langkah kerajaan itu dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.

Namun begitu Awang berharap kerajaan akan mengumumkan lebih banyak lagi inisiatif yang bertujuan mengurangkan beban kos hidup rakyat dan tidak lagi terus menyalahkan kerajaan terdahulu akibat kegagalan menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Awang - Lega dan bersyukur.