Arahan itu sepatutnya memberikan kesedaran kepada penganjur supaya jangan cuba melakukan sesuatu tindakan yang boleh mendatangkan bahaya. Ini memandangkan pihak berkuasa telah menegaskan, pesta arak Better Beer Festival 2017 boleh menjadi platform kumpulan militan untuk melancarkan serangan keganasan.

Ancaman itu bukan sekadar cakap kosong atau mahu menakut-nakutkan tetapi ini hasil maklumat yang diperoleh oleh PDRM. Oleh itu, pihak penganjur sepatutnya tidak berdegil dan akur dengan pendirian kerajaan dan pihak berkuasa.

Sememangnya, Awang tidak faham kenapakah pesta seumpama itu mahu diadakan secara terbuka di negara yang Islam menjadi agama rasmi Persekutuan ini, apatah lagi kalau sudah ada unsur-unsur boleh mencetuskan keganasan.

Oleh itu, Awang berharap kerajaan akan bertegas dan melakukan apa sahaja langkah yang perlu bagi menghalang penganjuran pesta tersebut. Kalau ada yang masih degil ambil sahaja tindakan dari segi undang-undang supaya mereka faham!

AWANG – Tak suka pesta.