Difahamkan, peneroka Felda kini hidup tertekan. Mereka bagaikan golongan yang dipinggirkan sejak pentadbiran negara bertukar tangan. Kejatuhan harga sawit bagaikan ‘petaka’ kepada mereka berikutan pendapatan yang terjejas teruk.

Mereka amat mengharapkan ihsan kerajaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung. Jika sebelum ini ketika kerajaan dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) pelbagai bantuan dan sumbangan yang mereka peroleh, kini semua itu hanya tinggal kenangan sahaja.

Awang tidak pasti sama ada kerajaan benar-benar menghadapi tekanan kewangan atau tidak bagi membantu peneroka kerana kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan termasuk mereka yang berada dalam Kabinet berhubung kedudukan kewangan negara dilihat tidak konsisten dan bercelaru.

Tetapi pada masa sama perlu diperingatkan, ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ada pihak yang berjanji mahu menghapuskan hutang peneroka dan kini pihak tersebut sudah menang. Justeru tunaikanlah janji yang dibuat.

Bagaimanapun jika tidak dapat dilaksanakan, mekanisme perlu dicari untuk membela peneroka-peneroka Felda kerana sebahagian besar mereka turut memainkan peranan menukar kerajaan dalam pilihan raya umum lalu. Janganlah biarkan kumpulan tersebut menerima nasib ibarat habis madu sepah dibuang.

AWANG – Faham perasaan peneroka.