Seperti yang ditegaskan sebelum ini, Bajet 2018 adalah bajet inklusif dan memberi penekanan kepada pelbagai isu di samping usaha menyokong pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Dalam merangka bajet ini, kerajaan tidak seharusnya cenderung untuk mencari populariti tetapi harus bertanggungjawab dan realistik.

Tidak dinafikan, Bajet 2018 adalah bajet terakhir menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi hakikatnya, sama ada menjelang PRU atau tidak, kerajaan akan sentiasa mengutamakan kepenti­ngan rakyat melalui pelan serta dasar yang konsisten.

Tidak ada maknanya menjanjikan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan sebaliknya sekadar janji kosong untuk mencari po­pulariti. Mencadangkan sesuatu yang enak didengar amat mudah tetapi apakah pelan konsisten bagi memenuhi janji-janji itu?

Rakyat juga boleh menilai sejauh mana Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan baru-baru ini. Sepintas lalu, pembangkang hanya merangka belanjawan bagi memenuhi tuntutan yang disukai rakyat.

Awang percaya, semuanya hanyalah retorik politik pakatan pembangkang, sesuatu yang pernah dijanjikan sebelum ini untuk menjadi lebih popular. Sebaliknya Bajet 2018 kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah pelan ekonomi yang kukuh, lebih bertanggungjawab dan realistik.

AWANG – Menanti bajet mesra rakyat.