Hakikatnya punca kekecohan disebabkan proses pengambilan tanah kuil yang juga ada hubung kait dengan mahkamah. Semua pihak sepatutnya bertenang dan tidak cepat melatah membuat kesimpulan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Elakkan sebarang kenyataan yang menjurus kepada perkauman, kebencian dan hasutan. Ingatlah dalam situasi pada hari ini, ada pihak yang dengan sengaja ‘melontar batu sembunyi tangan’ dan menuding jari mencari silap orang lain.

Lebih mendukacitakan jika ada pihak yang menjadi ‘batu api’ bagi menimbulkan ketegangan. Mereka cuba merosakkan suasana aman, harmoni dan hormat menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Sarang tebuan jangan dijolok. Semua orang mahu menikmati kehidupan yang aman.

Awang percaya kekecohan yang dikaitkan dengan perkauman adalah disebabkan isu-isu semasa. Musuh sentiasa mencari kesempatan untuk merosakkan perpaduan kaum. Perpaduan bukan sekadar meraikan perayaan pelbagai kaum tetapi apa yang lebih penting menjaga sensitiviti masyarakat. Pemimpin terutamanya perlu menjaga tutur kata mereka supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dan menyokong membuta tuli.

AWANG - Bimbang terlanjur tulis.