Disebabkan Khazanah berkait rapat dengan kerajaan, sudah tentu kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan baharu sebelum ini ‘mengganggu’ tumpuan anggota lembaga. Pada masa yang sama apabila perubahan kerajaan berlaku, tidak dapat tidak kepemimpinan agensi atau jabatan tertentu turut berubah.

Tanpa sebarang arahan, anggota lembaga merasakan mereka perlu memberi ruang kepada kerajaan baharu membuat keputusan bagi menentukan kedudukan serta hala tuju.

Mereka boleh meneruskan tugas masing-masing sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ tetapi tanpa sebarang keputusan, tidak banyak yang boleh dilakukan. Justeru jalan keluar terbaik ialah menawarkan diri meletak jawatan.

Diharapkan peralihan dapat berjalan lancar bagi memboleh­kan Khazanah memainkan peranan untuk terus meningkatkan nilai pelaburan yang dapat memanfaatkan negara.

Awang percaya sesiapa juga yang akan dipilih menerajui Kha­zanah dapat menambah baik apa yang telah dicapai oleh cabang pelaburan strategik kerajaan itu. Banyak kejayaan telah dicapai oleh pengurusan yang lepas. Semoga Khazanah Nasional Bhd. akan terus memperkasakan agenda bumiputera.

AWANG – Sekadar ucapan terima kasih.