Khabarnya sebanyak RM5.7 bilion WTD masih dalam simpanan sejak 1977 sehingga 30 Jun lepas. Ia melibatkan lebih 55 juta rekod akaun seperti akaun simpanan, semasa dan perniagaan. Pe­rangkaan itu menunjukkan satu jumlah yang besar walaupun WTD bagi sesetengah individu mungkin dalam jumlah yang kecil.

Semuanya ini disebabkan kurangnya kesedaran orang ramai mengenai faedah perkhidmatan yang disediakan termasuk WTD. Sebelum ini, ada yang tidak sedar mengenai faedah atau kemudahan yang disediakan oleh pelbagai agensi terutama melibatkan pampasan berkaitan kesihatan, kemalangan dan kematian.

Dalam hal ini, semua pihak yang terlibat perlu berusaha menyedarkan masyarakat mengenai pelbagai kemudahan yang ada untuk faedah bersama. Banyakkan kempen penerangan kepada rakyat dalam bentuk yang mudah difahami.

Awang percaya, ramai yang mempunyai pelbagai akaun tetapi hanya aktif untuk beberapa ketika terutama semasa remaja. Disebabkan masalah tertentu, akaun berkenaan ditinggalkan begitu sahaja. Selepas tempoh tertentu dan individu tidak dapat dihubungi, simpanan itu diserahkan kepada WTD. Semakannya amat mudah. Walaupun sedikit, ‘bebaskan’ wang berkenaan. Jika tidak perlu wang itu, sumbangkan kepada yang memerlukan.

AWANG - Harap durian runtuh WTD.