Akibatnya, negara huru-hara dan tergugat kestabilan politik dan ekonominya. Pada masa akan datang (barangkali sedang berlaku pun), sesebuah negara tidak perlu memperkuatkan angkatan bersenjatanya.

Tidak perlu habiskan berbilion ringgit atau dolar untuk beli pesawat perang atau kapal selam dalam menangkis serangan luar atau menyerang negara tertentu. Tetapi cuma cukup memperkuatkan pasukan ‘tentera sibernya’.

Dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14, mahu tak mahu kerajaan memerintah sekarang terpaksa bersiap-siaga mena­ngani penyebaran berita palsu.

Apatah lagi, dakyah dan fitnah dipercayai akan bertebaran secara agresif sehari dua menjelang pengundian - yang diketahui ‘pihak di sebelah sana’ kelemahan sebilangan rakyat negara ini yang mudah ‘diulit’ persepsi dan emosi.

Dalam membendung penyebaran berita palsu dan fitnah, Awang teringat kejayaan pasukan penyelidik dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat membangunkan satu enjin carian yang digelar Hoaxy pada 2016.

Jika pengguna mengesyaki sesuatu berita palsu, mereka boleh mencarinya di laman sesawang hoaxy.iuni.iu.edu untuk melihat bagaimana cerita tersebut pertama kali disebarkan dan menular.

Laman itu juga berfungsi menjejaki pautan berita-berita ber­kenaan di laman Twitter dan Facebook. Pada masa sama menunjukkan pautan bersesuaian untuk menyemak fakta sebenar.

AWANG – Cari fakta, bukan auta.