Sesungguhnya lawatan baginda amat signifikan dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi. Raja Salman ialah Raja Arab Saudi ketiga yang mengadakan lawatan ke negara ini. Sebelum ini Raja Abdullah Raja Abdulaziz Al-Saud dan Raja Faisal Raja Abdulaziz Al-Saud turut berbuat demikian iaitu pada 2006 dan 1970.

Kunjungan bersama kira-kira 600 delegasi termasuk 200 ahli perniagaan membuktikan Arab Saudi terus melihat Malaysia sebagai sahabat paling akrab. Ia terutamanya untuk kepentingan bersama dalam memajukan bidang pendidikan, pembinaan, kebudayaan, ekonomi dan kerjasama pelaburan. Awang juga difahamkan beberapa memorandum persefahaman termasuklah dalam bidang urusan haji dan pertahanan turut akan ditandatangani dalam lawatan ini. Kesemua MoU itu sudah tentulah bakal mengukuhkan lagi kerjasama antara Kuala Lumpur dan Riyadh.

Selain itu, Awang juga merafak sembah ucapan tahniah kepada baginda berikutan penganugerahan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Universiti Malaya serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Awang - Ahlan wa sahlan.