Dalam temuramah bertajuk An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang beliau turut menyatakan jika bergabung dengan UMNO ia akan hanya menyusahkan parti itu.

Kenyataan beliau ini di tambah ‘perasa’ oleh Naib Presiden parti itu, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bahawa UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan agar parti itu dibubarkan.

Bagi Awang kenyataan sebegini tidak perlu dilakukan kerana ia tidak memberi apa-apa kesan kepada politik orang Melayu selain hanya membawa rebah apatah lagi dalam keadaan kedua-duanya pembangkang.

Semua maklum bahawa hubungan antara UMNO dan Pas ini tertumpu antara kerjasama yang mampu menguntungkan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Tidak perlu pun dua parti yang mendapat sokongan orang Melayu teramai itu bergabung.

Cukuplah bekerjasama demi agama dan bangsa tetapi tidak perlulah sampai membuat kenyataan UMNO perlu dibubarkan. Mungkin ada dalam kalangan orang Pas yang panik melihat drama lompat melompat dalam UMNO sehingga menimbulkan kebimbangan selama mana kerjasama ini boleh bertahan.

Namun ia dilihat sementara kerana kini nakhoda baharu sudah menggantikan tempat presiden parti. Beri peluang kepada Mohamad Hasan membuktikan keupayaan beliau.

Awang hanya geleng kepala apatah lagi sakit tekak akibat turut sama hadir dalam #DaulatHimpunan812 bagi membantah pelaksanaan ICERD masih belum hilang. Melihat dua tokoh utama Pas itu memperlekeh UMNO hanya akan menjadi bahan ketawa pihak pemerintah terutama DAP.

AWANG - Berkorban demi Islam, Melayu