Cabaran pertama SPR apabila mengendalikan proses penamaan calon yang akan berlangsung esok di 222 kawasan pilihan raya. Adalah dijangka tidak ada calon yang akan menang tanpa bertanding hanya kerana masalah-masalah teknikal yang boleh dimaafkan kecuali tidak ada pencabar calon berkenaan.

Sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa sahaja berhak bertanding sama ada mereka menganggotai mana-mana parti politik atau tidak. Apa yang penting memenuhi syarat-syarat atau peraturan yang ditetapkan oleh SPR.

Berilah kepercayaan sepenuhnya kepada SPR. Hentikan berita palsu termasuk pengundi hantu, penandaan kertas undi dan sebagainya. Jangan menimbulkan keraguan masyarakat. Parti politik mempunyai wakil di pusat mengundi dan penjumlahan undi. Mereka boleh menjadi mata dan telinga parti yang bertanding.

Awang tidak dapat menerima sekiranya ada pihak yang mendakwa SPR merancang sesebuah kerajaan untuk terus berkuasa. Lihatlah bagaimana Pas boleh mengekalkan kerajaan di Kelantan, DAP dan PKR di Pulau Pinang dan Selangor. Begitu juga di Kedah dan Terengganu. Bercakaplah berasaskan fakta dan akal.

AWANG – Pemerhati di pusat penamaan calon.