Sesuatu perlu dilakukan bagi menamatkan pelbagai pertikaian. Jika benar ada golongan pelampau, buktikan dan ambil tindakan. Jangan segaja mencetuskan perasaan curiga mencurigai, menghasut atau membakar sentimen rakyat pelbagai kaum.

Masih timbul perasaan tidak puas hati atau tidak yakin walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan pendirian kerajaan baru-baru ini. Keputusan muktamad yang diyakini perlu diambil supaya tidak timbul lagi cakap-cakap yang menjejaskan keharmonian kaum.

Salah satu cadangan ialah membawa perkara ini ke Dewan Rakyat. Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan ini bagi menamatkan segala pertikaian. Jelaskan kepada rakyat kesediaan kerajaan di Parlimen. Huraikan apa yang sebenarnya berlaku.Selagi tidak ada pernyataan yang kukuh, perkara ini akan terus berlegar dalam kalangan masyarakat.

Awang berharap kerajaan dapat membuat keputusan yang boleh diyakini rakyat supaya suasana akan lebih harmoni. Semua pihak harus sepakat untuk melupakan ‘sengketa’ ini supaya tidak dibangkitkan lagi pada masa hadapan. Sekiranya berlaku perhimpunan rakyat pada 8 Disember, ia hanya sekadar untuk menyatakan rasa syukur atas penolakan kerajaan itu.

AWANG - Semakin gelisah.