Biar apa pun yang dilabelkan atau cubaan pihak tertentu memburukkan imej polis di negara ini, sema­ngat anggota pasukan itu tidak pernah luntur untuk mempertahankan institusi kepolisan.

Maka amat wajar, kerajaan terus menjaga kepentingan dan kebajikan warga PDRM termasuk peluang memiliki rumah. Begitu juga peruntukan dana khas Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM1.5 bilion untuk anggota PDRM. Seluruh anggota pasukan itu perlu mengambil peluang pelaburan ini sebagai persiapan tambahan menghadapi hari persaraan.

Banyak lagi yang dilakukan oleh kerajaan untuk PDRM bagi memastikan anggota pasukan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara. Pada masa yang sama, anggota masyarakat pula perlu bersama-sama menjadi rakan polis untuk membanteras jenayah.

Awang berharap, masyarakat menghayati tema Polis dan masyarakat berpisah tiada. Jadilah anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Jangan tutup mata dan pekakkan telinga sekiranya mengetahui aktiviti jenayah. Sikap tidak ambil peduli menyebabkan kemungkinan rumah sebelah menjadi tempat proses dadah atau pusat operasi jenayah. Ingatlah, penjenayah juga semakin pintar dan bijak mengatur strategi.

 

AWANG - Teringat peristiwa Lahad Datu.