Apa pun berilah peluang kepada muka-muka baharu ini untuk ‘beraksi’ dan menyesuaikan diri. Bukanlah mudah untuk melakukan sesuatu yang dahulunya menjadi cemuhan kita tetapi hari ini tertanggung pula di bahu sendiri.

Cuma apa yang membimbangkan ada dalam kalangan wakil rakyat yang menjadikan Dewan Rakyat seolah-olah pentas untuk mencari silap dan menghukum. Dalam hal ini, biarlah mahkamah memutuskan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

Jangan hanya bercakap soal keadilan tetapi tindak tanduk tidak menuju ke arah mencari keadilan sebenar. Wakil rakyat mempunyai kekebalan untuk bercakap tetapi jagalah adab dan etika. Tegur dan kritik secara berhemah, bukannya untuk menghina atau mengaib­kan mana-mana pihak.

Awang amat berharap tidak ada provokasi terutama berkaitan agama, kaum dan budaya sehingga boleh mencetuskan kemarahan masyarakat. Peringatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V sebelum ini harus dijadikan panduan. Rakyat telah memilih. Jangan hampakan harapan rakyat.

AWANG - Tenang ikuti perbahasan.