Lebih membimbangkan lagi, mereka yang memberi hujah dangkal bertentangan dengan sains dan perubatan menerusi jaringan media sosial.

Malah, ada pula menggunakan alasan keramat agama bagi menghindarkan anak mereka daripada disuntik vaksin. Tanpa disedari, mereka sebenarnya menjalankan eksperimen ke atas anak sendiri tanpa satu sandaran yang ampuh.

Ada beranggapan anak mereka tidak memerlukan imunisasi kerana penyakit berjangkit tidak selalu berlaku. Tanggapan ini tidak benar kerana imunisasi penting untuk memastikan anak anda sihat.

Masih lagi terdapat penyakit berjangkit yang berbahaya di Malaysia.Dan ini terbukti apabila lima kes kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria dikesan di Johor Bahru.

Selasa lalu, seorang kanak-kanak yang tidak menerima suntikan vaksin meninggal dunia akibat jangkitan berkenaan.Kerana itu Awang menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan semalam mahu mewujudkan dasar yang dapat memastikan setiap kanak-kanak mendapat suntikan imunisasi vaksin pada masa depan.

Walaupun bukan mudah menjadikan suntikan vaksin ini mandatori, namun diharap ia dapat melenyapkan sebahagian mitos yang sering dibawa oleh golongan yang paranoid dengan vaksin.

AWANG – Islam tidak tolak ikhtiar, juga tawakal.