Oleh itu, Awang berharap kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan sesuatu bagi membanteras kejahatan ah long. Mereka sudah melampaui batas. Nyawa orang sentiasa sahaja dijadikan tebusan bagi mendapatkan balik wang yang di­pinjam seolah-olah negara ini tidak ada undang-undang.

Kes terbaharu itu membuktikan ah long semakin berani dan me­rasakan tiada siapa boleh menghalang perbuatan jahat mereka waima polis sekalipun. Justeru pihak berkuasa perlu memastikan tanggapan itu salah. Tidak boleh ada mana-mana kumpulan di negara yang bertindak bagaikan ‘mafia’ dalam menyelesaikan apa juga isu.

Dalam usaha membanteras perbuatan ah long itu, Awang mencadang­kan perkara pertama yang boleh dilakukan adalah mengesan nombor-nombor telefon yang berlambak-lambak ditampal di sana sini di seluruh negara menawarkan pinjaman wang. Sudah tentu mereka ini adalah ah long kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen. Awang percaya melalui tindakan itu ia sedikit sebanyak akan mampu mengurangkan aktiviti ah long.

Apapun Awang sentiasa yakin dengan kewibawaan polis dalam menangani isu ah long. Apa yang penting bertindaklah segera dan lebih agresif lagi supaya tiada nyawa terkorban akibat keganasan ah long. Jangan biarlah ah long terus mengganas seolah-olah kita tidak berupaya melakukan apa-apa.

AWANG – Tunggu tindakan polis.