Jika berlaku juga penipuan, tentulah ada yang tidak kena dan pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan atau hukuman lebih berat. Banyak agensi yang menyenaraikan pelbagai tawaran tetapi pilihlah yang berpengalaman serta mempunyai rekod yang baik. Tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baharu jika mereka yakin dengan keupayaan agensi yang tidak disenaraikan.

Bagaimanapun janganlah pula disalahkan pihak berkuasa jika ditipu. Cukuplah kontroversi berkaitan IMAMS baru-baru ini. Mungkin agensi yang terlibat boleh memantapkan lagi perkhidmatan mereka supaya lebih diyakini dan tidak diragui.

Penipuan dapat dielakkan sekiranya bakal jemaah lebih berhati-hati. Mereka boleh meragui pakej yang terlalu murah berbanding harga lantai yang ditetapkan sebanyak RM4,900. Harga mahal juga bukanlah ja­minan tidak terdedah kepada penipuan.

Awang sekali lagi berharap, bakal jemaah dapat mengambil inisiatif untuk menyelidik latar belakang syarikat atau agensi supaya tidak timbul masalah sama ada berkaitan visa sebelum berlepas atau ketika berada di Mekah dan Madinah.

AWANG - Pilih agensi terpilih.