Segalanya tidak mungkin menjadi ‘perbalahan’ apatah lagi ‘perang mulut’ jika Guan Eng yang pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang berhati-hati menggunakan perkataan ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan di Parlimen.

Kata-kata: “Saya fikir macam mana Kelantan mampu buat bila gaji perkhidmatan awam tak boleh bayar,” sepatutnya tidak diucapkan oleh Guan Eng ketika Takiyuddin bertanya sama ada Kelantan, Terengganu dan Pahang boleh meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sendiri, jika kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membatalkan projek itu.

Sepatutnya Guan Eng berhenti selepas menjawab, “Berkenaan Kelantan, Terengganu ingin ambil alih jika (kerajaan batalkan projek ECRL) saya tunggu surat jika mereka mahu berbuat demikian.” Bukannya menyambung kata-kata yang dilihat satu sindiran dan lebih buruk lagi dianggap memperlekeh kerajaan Pas Kelantan.

Mungkin Guan Eng tidak bermaksud demikian tetapi dengan mendedahkan dokumen sebagai bukti kerajaan Kelantan memohon pinjaman pendahuluan RM97 juta, Jun lalu, untuk menampung aliran tunai kerajaan negeri akibat perbelanjaan luar jangka, maka lebih banyak tafsiran dibuat berhubung niat sebenar Guan Eng.

Apapun Awang berharap isu ini akan diselesaikan dengan sebaik-baiknya dan tidak perlu dipanjangkan kerana hubungan baik antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri amat penting demi kesejahteraan rakyat.

Awang – Tidak suka polemik.